Adam duduk di tepi birai katil putih itu, duduk setia sepanjang hari menemani Ayu yang masih lagi nyenyak tidur. Sesekali bila lenanya terganggu Adam akan bingkas menenteramkan permaisuri hatinya itu. Ayu masih lagi lemah, wajah yang dahulunya berseri dan ceria itu kini berganti dengan raut pucat lesi. Keadaan Ayu semakin teruk dari hari ke hari dan Adam kekal setia di tepi katil putih itu. Penyakitnya semakin hari semakin parah, segala ubatan yang diberikan hanya mampu membuatkan Ayu untuk terus bertahan melawan serangan demi serangan penyakitnya. Dari apa yang diberitahu oleh doktor, hayat Ayu hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi, semuanya bergantung kepada dirinya sendiri.Dia menekup muka, meraup perlahan. Dia pandang lama ke wajah Ayu, sedih namun dia perlu kuatkan diri demi Ayu. Pastinya Ayu enggan dia bersedih melihat Ayu dalam keadaan begitu. Adam pandang ke luar, taman permainan kanak-kanak di hadapan hospital itu dahulu menjadi tempat utama dia menghabiskan masa petangnya bersama Ayu.
"Adam" , mendengar namanya dipanggil dia berpaling. Cuba tersenyum melihat Ayu. Dia perlu kuat, bisik hatinya.
"Ayu dah bangun? Nak makan tak? Tadi nurse datang hantar makanan tapi Ayu tidur, jadi Adam simpankan dulu. Jom makan, Adam suapkan Ayu ya?" Perlahan dia ulas lembut tangan Ayu, berhati-hati seolah setiap sentuhannya akan menyakitkan Ayu.
Ayu geleng perlahan. "Ayu teringin nak main buaian dekat taman depan tu, nak tengok matahari terbenam macam dulu. Adam bawa Ayu ya?"
"Biar Adam tanya doktor dulu ya sayang? Ayu tunggu dekat sini okay?" Ayu senyum, angguk perlahan.
* * * * * * * * * * * * *
Adam menolak perlahan buaian. Menghayun dirinya perlahan-lahan sambil memejamkan mata. Dia duduk di atas buaian paling hujung itu, tempat kegemaran Ayu. Tempat pertama kali dia berjumpa Ayu sewaktu gadis itu sedang seronok membuai diri, biarkan angin lembut menyapa tubuh. Dia senyum setiap kali teringatkan saat itu. Terpaksa menjaga si adik yang dimasukkan ke hospital kerana asthma tatkala dia sedang sibuk dengan pameran fotografi sulungnya bukanlah atas kehendaknya, namun kerana Ibu dan Ayah yang sedang sibuk mengerjakan Haji di Tanah Suci dan kakak-kakak yang sibuk dengan kerja, dia terpaksa akur.
Dan petang itu entah apa perangai adik kecilnya beria-ria mengajaknya ke taman permainan. Dan di situ adalah kali pertama dia berjumpa Ayu, kerana si gadis berkeras mahu duduk di buaian paling hujung itu walhal masih banyak lagi buaian yang kosong. Dan di buaian itu juga tempat terakhir dia menemani Ayu melihat matahari terbenam, memenuhi permintaan gadis kesayangannya itu.
"Kenapa awak ayun perlahan sangat? Tak seronoklah macam tu."
"Sebab kalau laju-laju tak dapat nak dengar angin bercakap dengan kita."
"Angin bercakap? Merepeklah. Angin mana boleh bercakap."
"Boleh, awak cubalah. Nah." Ucap Ayu seraya turun dari buaian sambil mengarahkan Adam untuk naik. Adam keberatan namun setelah dipaksa Ayu akhirnya dia mengalah.
Adam ayunkan perlahan seperti apa yang dilakukan Ayu, sambil menutup mata. Lama. Dia cuba fokus pada bunyi desiran yang menyapa pendengaran. Diam dan fokus. Tiba-tiba terdengar suara Ayu berbisik perlahan di telinga Adam.
"Ayu sayangkan Adam sampai hujung nyawa."
Adam buka mata sambil tersenyum. Dia lihat sekitar, namun tiada lagi Ayu. Yang tinggal hanya Adam bersama langit yang semakin merah, semerah hatinya yang luka. Kanak-kanak kecil yang tadi kelihatan bermain-main di sekitar juga telah tiada. Cuma Adam yang masih setia duduk di buaian yang paling hujung, cuba mendengar lagi angin bercakap.
* * * * * * * * * * * * *
Adam tarik laci meja perlahan. Tarik dan buka lipatan kertas itu, surat dari Ayu yang sehingga kini masih tersimpan rapi di dalam laci mejanya. Cuma sudah lama rasanya dia tidak sentuh.
Adam,
Ayu minta maaf sebab Ayu tak dapat nak tunaikan janji Ayu untuk jadi ibu kepada anak-anak Adam, tapi Ayu nak Adam tahu yang itulah impian Ayu selepas kita berjumpa. Adam banyak bantu Ayu, beri semangat pada Ayu untuk hadapai semua ini. Ayu berterima kasih sangat pada Adam. Terima kasih sebab sudi terima Ayu dalam hidup Adam, terima kasih sebab Adam sudi berikan kasih sayang dan cinta Adam pada Ayu.
Adam,
Seandainya Adam terima nota ini, maknanya Ayu dah tiada di sisi Adam. Tapi Ayu minta pada Adam, walau apa pun tolong jangan tutup pintu hati Adam untuk orang lain. Ayu nak Adam bahagia, gembira sama macam masa kita bersama dulu. Ayu tetap cintakan Adam hingga akhir nafas Ayu.
"I Love You"
AYU
Adam lipat kembali surat terakhir Ayu, dan simpan perlahan kembali di tempatnya.
Ayu, memang sukar untuk Adam terima yang Ayu sudah tiada lagi di sisi Adam, tapi andai begini tertulisnya takdir pertemuan kita Adam terima. Tapi Adam tak pernah dapat ucapkan terima kasih pada Ayu. Terima kasih Ayu sebab sudi mencintai Adam, menerima Adam seadanya dan berikan kasih sayang Ayu kepada Adam. Ayu, Adam rasa Adam dah jumpa bahagia Adam sekarang. Adam harap Ayu gembira dengan keputusan Adam. Adam akan tetap sayangkan Ayu sampai akhir nafas Adam.Adam pandang kad yang terbuka di sebelah komputer sambil tersenyum. Ayu, Adam akan teruskan hidup ini.
Jemputan Ke Majlis Perkahwinan
"Adam & Hawa"
# Seorang Hero yang pernah gagal dalam bercinta akhirnya akan temui bahagia juga...
No comments:
Post a Comment