Pengikut Setia~

Monday, 19 November 2012

Ayie Dan Dira Di Dalam Hujan


Di dalam hujan Ayie keluar rumah untuk menemui kekasih hatinya, Dira. Dia telah berjanji untuk menemui Dira di taman permainan. Ayie berlari-lari anak sewaktu melintasi jalan raya untuk ke taman permainan berdekatan rumahnya. Entah kenapa hari itu banyak kenderaan yang lalu-lalang di kawasan itu. Ayie bercadang untung menggunakan jalan lain. Namun apabila terlihatkan Dira yang setia menanti di sebelah jalan sana, Ayie mula kuatkan hati dan dengan sepenuh kudratnya mula melangkah melintasi jalan yang sedang sibuk itu.

Sampai di pertengahan jalan, Ayie berehat sebentar di atas pembahagi jalan yang diwarnakan hitam putih itu. Dia memandang ke sebelah sana, Dira masih setia menanti kehadirannya. Dia tersenyum tatkala Dira melihatnya dengan penuh kerisauan.

"Dia risaukan aku, dia masih sayangkan aku lagi rupanya." monolog Ayie.

Dia yang mengajak Dira untuk bertemu di taman permainan itu, tempat mereka selalu berjumpa hampir setiap petang. Dia mendapat tahu Dira di belakangnya senyap-senyap selalu berjumpa dengan Danial. Dan hari ini dia nekad mahu menemui Dira dan meminta penjelasan. Dia akui dia masih sayangkan Dira, dan dia tidak mahu mempercayai sebarang gosip-gosip liar sebelum mendapat kepastian yang sahih daripada kekasih hatinya itu.

Hanya tinggal beberapa meter lagi, lalu dengan langkah yang sejuk Ayie mula melintas jalan yang separuh untuk mendapatkan Dira. Dari jauh dia melihat Dira sedang tersenyum menanti kehadirannya. Dia masih lagi ayu seperti kali terakhir mereka bertemu di taman permainan itu. Hanya beberapa langkah lagi dia akan sampai di seberang sana sebelum dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi brek mengejut dari sisi kirinya. Ayie pandang kiri, sebuah motosikal double R warna hijau sedang meluncur laju ke arahnya. Tayar belakang motosikal itu kelihatan berasap akibat daripada tekanan brek yang mengejut bagi memberhentikan momentum pergerakan motor itu. Ayie dengan pantas cuba mengelak ke belakang. Dasar mat rempit petang-petang hujan yang sejuk dan damai pun mahu bawa motor gaya Rossi. Belum sempat Ayie mengambil nafas tiba-tiba sebuah kereta yang sedang dipandu dengan laju telah menghentam dia daripada sisi kirinya gara-gara cuba mengelak mat rempit yang berhenti mengejut tadi.

Ayie tercampak beberapa meter ke belakang. Sungguh sakit rasanya, beberapa tulang rusuk kirinya dirasakan patah dan Ayie rasa ada cecair panas mengalir dari kepalanya. Dia mula berpinar dan penglihatan mulai samar. Dan dari kejauhan itu dia ternampak Dira sedang melihat ke arahnya. Entah dari mana datangnya kekuatan dirinya, dia bingkas bangun dan berjalan ke arah Dira. Rusuk yang patah sudah tak dipedulikan. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu namun mengenangkan Dira dia gagahkan jua. Badannya semakin lemah, penglihatannya mulai kabur dan sebelum dia sedar dia sudah terbaring kaku di atas jalan raya itu, memandang tepat ke arah Dira.

Ayie rasakan nyawa yang hampir ke penghujung itu mulai ditarik perlahan-lahan. Dira yang sedari tadi melihat ke arahnya tiba-tiba berpaling dan berjalan pergi. Ayie terkejut, dalam kesakitan itu dia cuba memanggil nama kekasih hatinya itu namun hampa, Dira terus berpaling pergi ke arah Danial yang sedang menanti di tepi taman permainan itu. Rupanya segala apa yang diceritakan itu ternyata benar. Ayie semakin lemah, dan dia terbaring kaku di situ. Pemandu yang telah langgarnya telah menelefon Ambulans. Walaubagaimana pun Ayie telah menghembus nafas terakhirnya tatkala hatinya hancur melihat pemergian kekasih hatinya yang selama ini di anggap setia. Ayie hanya terbaring di jalan sambil mencium hujan yang turun.




Curang ialah pilihan. Manusia sentiasa diberi peluang untuk buat pilihan.

No comments:

Post a Comment

√ Verified Official Sky Lover © THIS DAYS Official Blogger